Click here for Myspace Layouts

KOLEKSI PANTUN MERISIK

Views

Pohonnya rendah dahannya rendah
Bertebar ke bumi buah bidara
Minum sudah sirihpun sudah
Bolehlah kami buka bicara

Rebus laksa lalu disejat
Jangan terkurang letak kuahnya
Kami datang membawa hajat
Hajat orang kami penyampainya

Mengapa pipit terbang rendah
Siraja udang menangkap ikan
Air sudah sirihpun sudah
Hajat apa sila khabarkan

Bulan bintang hendak dipanjat
Tali sabut siap dipintalkan
Kami datang membawa hajat
Hajat disambut lalu diutuskan

Ditengah rimba singgah raja
Berasa gusar membina kota
Bukan hamba datang sahaja
Niat besar tidak terkata

Ada berapa kuntum Melati
Cukupkah dikalungkan
Ada apa niat dihati
Mengapa tidak disampaikan

Ukiran tersusun diatas rusuk
Bunga raya di atas baki
Kedalam rumah sudah saya masuk
Diatas kerusi sudah saya duduki

Penat sudah membajak bendang
Mempelam ranum bekalan kakak
Air manis sudah terhidang
Jemput minum membasah tekak

Ku semai padi penuh sebendang
Selepas sehari-hari membajak
Hari ini saya bertandang
Datang kemari membawa hajat

Jentayu burung di awan
Batu gemala penghias mahkota
Tepak sirih di atas puan
Itulah mula pembuka kata

Buah berangan di dalam peti
Pucuk ijuk rebah kebumi
Apa gerangan hajat di hati
Datang memijak gerubuk kami

Beratur landak mencari makan
Pohon pegaga di depan pintu
Masjid hendak kami dirikan
Dua keluarga hendak disatu

Cantik sungguh Dang Anum
Bersanggul dengan gegetarnya
Buah masak sudahke ranum?
Bunga ditaman sudahkah berpunya?

Kumbang mengintai dilaman
Hinggap diranting mencari pasangan
Bunga kembang di dalam taman
Hendak kami sunting dalam jambangan

Pokok kerini jangan dipanjat
Kalau dipanjat patah dahannya
Datang kami datang berhajat
Bunga ditaman siapa empunya

Kalau masih belum berpunya
Gementar tadi sudahlah hilang
Kamilah wakil datang bertanya
Kalau sudi hendak berbesan

Pecah tempurung nyuir disagat
Menahan belat digenting
Ada burung hendak diigat
Ada bunga hendak disunting

0 KOMEN TERHEBAT:

Post a Comment

BLOG INI HAKMILIK SEPENUHNYA AKU DOKTOR CINTA SEJAK 2012